15
Feb
08

Risik rakyat tentang prestasi wakil rakyat

Oleh : Dr. Saodah Abd.Rahman (Utusan Malaysia : 6 Februari 2008)

TEMPOH menunggu penamaan calon wakil rakyat oleh pucuk pimpinan negara merupakan saat yang paling mendebarkan hati para wakil rakyat.

Ketika ini para wakil rakyat mula menunjukkan diri sebagai orang yang prihatin terhadap rakyat walaupun sebelum ini jarang sekali melihat wajah mereka muncul di kawasan kampung.

Malah terdapat juga wakil rakyat tidak mengenali kawasan di bawah kepimpinan mereka. Terdapat kes di mana wakil rakyat tidak dihormati oleh penduduk tempatan kerana tingkah laku dan sifat mereka yang kurang menyenangkan hati rakyat.

Dalam suasana wakil-wakil rakyat mempertahankan kedudukan diri, ada mendabik dada menunjukkan bahawa mereka adalah orang yang paling bertanggungjawab dan mendapat sokongan padu untuk dicalonkan semula bagi penggal kedua atau ketiga.

Oleh itu, pucuk pimpinan negara perlu menyelidik secara terperinci mengenai tingkah laku wakil rakyat ketika berhubung dengan masyarakat dan cara mereka mengendalikan urusan dengan rakyat. Suara penduduk tempatan secara menyeluruh perlu dijadikan sebagai panduan untuk meneliti tingkah laku dan sikap para wakil rakyat.

Agensi perisik yang dilantik oleh kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk mendapat maklumat tentang kegiatan wakil rakyat dan cara mereka berhubung dengan masyarakat.

Pucuk pimpinan negara perlu memahami bahawa wakil rakyat ialah orang yang cintakan rakyat dan gemar membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat, bukan orang yang gemar memutarbelitkan kenyataan untuk melindungi kelemahan diri.

Perkara jelas dapat dinilai dan dianalisis mengenai keprihatinan wakil rakyat terhadap rakyat ialah berkaitan dengan pembangunan infrastruktur bagi kawasan di bawah kepimpinan mereka.

Jika wakil rakyat gagal membuktikan bahawa mereka membuat perubahan dalam soal pembangunan material yang boleh memudahkan kehidupan rakyat, maka mereka tidak wajar mendabik dada mengatakan bahawa mereka masih disokong oleh rakyat.

Sikap gemar menonjolkan diri mereka adalah orang yang paling rapat dengan pucuk pimpinan negara tidak mungkin mampu untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat jika rakyat sudah hilang kepercayaan dan penghormatan terhadap diri mereka.

Sokongan padu rakyat terhadap wakil rakyat adalah asas utama yang boleh memperkukuhkan kedudukan wakil rakyat untuk penggal berikutnya. Wakil rakyat yang aktif dan gigih dalam perkhidmatan mampu membuat perubahan dan pembangunan bagi kawasan di bawah kepimpinan mereka.

Kegagalan dalam pembangunan kawasan adalah berhubung kait dengan sikap dan tingkah laku wakil rakyat. Pertama, wakil rakyat hanya menumpukan perhatian kepada kawasan tertentu sahaja apabila mereka pulang ke kawasan mereka. Oleh itu mereka gagal menyediakan keperluan asas rakyat.

Kedua, wakil rakyat hanya bergaul dan berurusan dengan individu yang rapat dengan mereka yang boleh mengekalkan kedudukan mereka sehingga terlupa bahawa tanggungjawab mereka merangkumi keseluruhan kawasan Parlimen.

Ketiga, mereka terlalu ghairah untuk menonjolkan diri sebagai tuan besar yang perlu dihormati walaupun gagal menunjukkan perkhidmatan kepada masyarakat.

Keempat, wakil rakyat tidak menunjukkan sifat prihatin kepada rakyat dan sering mengeluarkan perkataan yang boleh mengguris hati apabila rakyat mengunjungi pejabat wakil rakyat untuk mendapat bantuan sama ada dalam bentuk perkhidmatan atau kewangan.

Apabila rakyat sudah hilang kepercayaan kepada wakil rakyat maka harapan untuk memenangi pilihan raya adalah tipis. Oleh itu pucuk pimpinan negara perlu meneliti dan mengkaji keperibadian, tingkah laku serta cara wakil rakyat berurusan dengan rakyat.  

11
Feb
08

Debat Perdana Integriti 2008 @ USM

Pasukan Debat MSU

Pasukan Debat MSU

oleh : Zubayry Abady Sofian

Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara Institusi Pengajian Tinggi anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) bersama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) bermula pada tahun 2005 dengan integriti sebagai tema utama pertandingan. Ia bertujuan untuk  mempromosi serta membudayakan etika dan integriti dalam kalangan warga kampus. Di samping itu, ia dapat menambah kefahaman mengenai usaha pengukuhan integriti negara di kalangan pelajar yang merupakan bakal pemimpin di masa hadapan. Oleh itu, pertandingan debat merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk meningkatkan daya fikir serta mengasah kebolehan berucap di khalayak ramai. Pertandingan debat perdana integriti ini diadakan ala Parlimen Malaysia.  Pada tahun ini, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah pertandingan. Pertandingan telah diadakan pada 1 hingga 5 Februari 2008. Tema pertandingan untuk tahun ini ialah TEKAD 2008 : Sasaran Kita. 

Johan pertandingan debat kali ini iaitu Universiti Malaya telah membawa pulang sebuah piala pusingan dan sebuah piala iringan serta wang tunai sebanyak RM6,000.00. Pemenang tempat kedua iaitu UNITEN pula menerima sebuah piala iringan serta wang tunai sebanyak RM4,000.00. Pasukan UiTM dan UIAM yang memenangi tempat ketiga dan keempat menerima sebuah piala iringan serta wang tunai sebanyak RM2,000.00. 

Pada pertandingan kali ini, aku berpeluang menjadi hakim pada dua sidang awal dan yang lebih menarik lagi untuk kedua-dua sidang ini melibatkan pasukan pendebat dari Management and Science University (MSU). Sebuah pasukan yang baru setahun jagung tahun tetapi mempunyai potensi besar untuk berjaya.

Sepanjang enam pusingan awal, MSU hanya menang satu pusingan sahaja, namun terdapat peningkatan yang ketara dari pusingan pertama hingga ke pusingan ke enam. Syabas… Selamat berjaya dalam Pertandingan Debat yang akan datang. 

06
Feb
08

Integriti dan Peranan Keluarga

oleh : Zubayry Abady Sofian

Pendahuluan 

Seperti yang kita sedia maklum, Pelan Integriti Nasional ( PIN ) yang bertujuan memantapkan keutuhan atau integriti rakyat Malaysia telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada bulan April 2004 yang lalu.  PIN merupakan satu gagasan yang menyeluruh untuk memadukan segala usaha dan sektor dalam inisiatif membasmi rasuah, meningkatkan asas moral dan tingkah-laku yang baik, meluaskan amalan beretika, dan meningkatkan dedikasi terhadap tanggungjawab awam bagi mereka yang berkhidmat dalam sektor awam.   

Kempen Meningkatkan Tahap Keutuhan 

Kesedaran atau keprihatinan  terhadap usaha memantapkan integriti orang ramai memang telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu. Ini meliputi usaha memantapkan nilai-nilai murni, kempen membanteras rasuah, usaha menerapkan nilai-nilai Islam, usaha meningkatkan keutuhan sektor kerajaan serta dedikasi dan disiplin kakitangan awam.  Malahan pernah juga diadakan kempen menyerap etika perniagaan yang baik di kalangan sektor swasta. Tidak ketinggalan juga usaha di peringkat sekolah untuk memupuk asas moral yang tinggi di kalangan penuntut kita. 

Integriti merupakan satu ciri yang menyeluruh yang berkait rapat dengan peribadi kita, amalan dan tingkah-laku kita serta sikap dan perbualan dan cara kita menjalankan tugas harian dan perhubungan kita sesama individu yang lain. Walau apa pun istilah integriti yang ditakrifkan, unsur utama iaitu budi pekerti yang baik serta kejujuran tetap menunjangi istilah integriti itu.  Hanya istilah ini begitu luas dan boleh merangkumi beberapa perkara penting lain seperti etika, tadbir urus, disiplin, ketelusan  dan sebagainya. 

Sehubungan dengan itu adalah sesuai satu pelan tindakan yang menyeluruh diwujudkan untuk menggabungkan semua dasar dan tindakan serta penerapan nilai yang baik disatukan dalam satu pelan tindakan yang sepadu. 

Peranan Institusi Keluarga 

PIN menitikberatkan peranan keluarga dan individu dalam pelaksanaannya. PIN  memandang bahawa sifat dan tingkah-laku yang baik bermula dari kecil khususnya dari rumah dan sekolah lagi. Pembabitan keluarga dan komuniti setempat dalam gerakan pemantapan integriti akan menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti sebagai budaya masyarakat dalam jangka panjang. Pendekatan ini selaras dengan hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang berorientasikan keluarga dan komuniti. 

Keluarga adalah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri setiap anggotanya. Keluarga seharusnya memastikan agar suasana keluarga adalah sentiasa ceria dan sihat untuk memupuk sosiobudaya dan nilai yang baik di kalangan kanak-kanak dan anggota keluarga yang lain. Ini akan memastikan seseorang individu itu mempraktikkan amalan yang baik apabila mereka keluar dari rumah dan berinteraksi dengan rakan dan individu yang lain dalam menjalankan tugasan mereka. 

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka supaya dapat mengamalkan tingkah laku yang baik di kalangan ahli-ahli keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan sekolah dan sebagainya. 

Untuk tujuan ini PIN telah menggariskan tanggungjawab jabatan kerajaan, NGO, dan sektor swasta untuk memupuk keluarga bahagia, penyayang dan sihat.  Antara cadangan lain dalam PIN adalah seperti berikut:- 

* Mengadakan Hari Keluarga di semua peringkat.

* Menggalakkan perancangan kewangan keluarga.

* Mewujudkan kursus keibubapaan.

* Menggalakkan konsep Rumahku Syurgaku.

* Memantapkan khidmat kaunseling untuk keluarga.

* Mengadakan pendidikan seks yang sesuai.

* Mengadakan kursus perkahwinan untuk orang Islam dan bukan-Islam. 

Bagi tujuan menggalakkan keselamatan dan kesejahteraan dan perlindungan dalam keluarga maka PIN telah menggariskan cadangan-cadangan berikut:- 

* Tumpuan kepada penjagaan kanak-kanak khususnya kesihatan mereka.

* Mengadakan hari kanak-kanak.

* Menggalakkan aktiviti fizikal yang sihat.

* Memupuk nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

* Memantapkan perlindungan wanita di tempat kerja.

* Mengadakan pusat penjagaan Dua Generasi untuk menjaga warga tua dan kanak-kanak.

* Mengadakan program untuk memanfaatkan warga tua.

* Mengadakan ruang temu mesra di kawasan perumahan. 

Seterusnya, untuk tujuan menghayati pembelajaran berterusan, PIN mencadangkan seperti berikut:- 

* Mendidik kanak-kanak tentang hak mereka berkaitan penjagaan dan  pembangunan.

* Memantapkan nilai-nilai murni seperti kebersihan, kebersihan alam sekitar, penjagaan    harta awam.

* Mengadakan program nilai untuk menghormati warga tua.

* Mengadakan program menghormati undang-undang.

* Mengadakan kempen membanteras keganasan rumah tangga. 

Selanjutnya untuk melaksanakan cadangan-cadangan di atas, beberapa kementerian telah diarah bagi merancang program dan projek yang selaras dengan cadangan di atas. Sebagai langkah pertama, Kementerian Pembangunan Wanita dan Pembangunan Keluarga bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berserta Kementerian Pelajaran telah diarah oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk merancang pelbagai program selaras dengan  cadangan PIN. Namun begitu, setiap program dan aktiviti yang dirancang kerajaan, NGO dan pihak swasta tidak akan mencapai impak maksimum sekiranya anggota masyarakat itu sendiri tidak memainkan peranan untuk menjayakannya. 

Sesungguhnya tanggungjawab melaksanakan PIN ini adalah penting dalam usaha meningkatkan keutuhan warga Malaysia dalam kegigihan kita mengejar pembangunan ekonomi dan fizikal. Kadangkala kita terperangkap dengan godaan seperti tawaran rasuah, hadiah-hadiah yang mahal dan sebagainya. 

Y.A.B Perdana Menteri pernah menyatakan Malaysia mempunyai kemudahan fizikal bertaraf dunia tetapi mempunyai mentaliti bertaraf dunia ketiga. 

Tanggungjawab melaksanakan PIN bukan terletak di atas bahu Kerajaan sahaja.  Pihak swasta dan  NGO juga bertanggungjawab untuk melaksanakan cadangan PIN selaras dengan hasrat menggalak peranan  masyarakat sivil dan amalan yang telus. 

Semoga nukilan ringkas ini dapat menggerakkan keinginan ibu bapa untuk memantapkan asuhan moral dan peribadi yang baik di rumah demi usaha mencapai keutuhan bangsa dan Negara. Di samping usaha memupuk keluarga bahagia dan sihat mereka juga boleh memainkan peranan positif dengan bekerjasama dengan pihak NGO seperti persatuan dan pertubuhan yang berkaitan untuk meluaskan lagi tenaga sukarela dalam usaha melaksanakan Pelan Integriti Nasional.

05
Feb
08

Mengenal calon pilihan rakyat : Bagi menjulang martabat bangsa dan menunjang kegemilangan negara

Oleh Johan Jaafar

DEMAM Pilihan Raya Umum ke-12 sudah lama terasa. Soal siapa bakal calon, siapa yang kekal dan siapa pula yang digugurkan menjadi bahan perbualan di mana-mana. Bakal calon bukan sedikit cuma tempat dalam pilihan raya terbatas, jadi proses memilih calon sudah tentu sukar dan mencabar.

Mereka daripada Barisan Nasional (BN) yang terpilih sebagai calon Ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri jika menang boleh dipertimbangkan ke pelbagai jawatan daripada Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, juga Menteri Besar dan Exco pada peringkat negeri. Mungkin akan berlaku perubahan pada peringkat Kabinet. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentulah mahu memperagakan Kabinet beliau sendiri yang tidak dilihat sebagai mewarisi pentadbiran lalu. Pada peringkat negeri juga tentulah akan berlaku perubahan pucuk pimpinan.

Dalam suasana menghadapi pilihan raya ini, tentulah siapa calon akan menjadi isu besar. Tambahan pula keadaan hari ini berbeza dari dulu. Satu ketika dulu, pengundi memilih parti tanpa banyak mengambil kira siapa yang mewakili parti itu. Hari ini parti juga penting tetapi siapa yang mewakili parti itu lebih penting lagi. Rakyat lebih kritikal sekarang dan mereka lebih berhati-hati membuat pilihan. Dalam keadaan inilah, maka pemilihan calon boleh menentukan menang kalah. Baik BN atau parti pembangkang tidak kurang calon berkualiti. Malah, salah satu selling point bagi pembangkang khususnya Pas sejak beberapa pilihan raya terakhir ini ialah menampilkan golongan muda dari kalangan profesional. Pas berpendapat hanya dengan menampilkan imej baru golongan profesional ini (selain pimpinan tradisional dalam hirarki parti) mereka dapat meyakinkan pengundi bahawa calon mereka bukan saja berkebolehan tetapi juga berpengetahuan.

BN, khususnya Umno tidak ada pilihan melainkan mengimbangkan antara kepemimpinan sedia ada dengan generasi baru baik melalui sayap Pemuda, Puteri atau Putera. Pada masa ini kelompok ini dipercayai mewakili lebih 40 peratus jumlah perwakilan dalam perhimpunan Agung Umno. Maka itu suara mereka semakin penting dalam parti. Pergerakan Pemuda Umno dan Puteri kini turut diwakili oleh golongan ahli perniagaan dan profesional yang bila-bila masa saja boleh menandingi kelompok muda dalam Pas.

Begitulah sistem pemilihan pimpinan di negara ini patah tumbuh hilang berganti, yang lama digantikan, yang berpengalaman menurunkan mandat dan azimat, yang muda mengambil alih. Sistem ini berjalan lancar dalam semua parti politik malah corak dan hala tuju parti ini banyak ditentukan oleh generasi muda. Umno tidak terkecuali. Sayap Pemuda, Puteri dan Puteranya mewakili generasi pimpinan muda yang dinamis dan penuh cita-cita. Mereka menganggap diri mereka pewaris pada kepemimpinan sedia ada dan mereka sedang mempersiapkan diri untuk cabaran masa depan. Ingatlah, tidak mudah sebenarnya menjadi pemimpin pada peringkat manapun. Pemimpin, meminjam ungkapan yang dikutip daripada buku Tenas Effendy (Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu terbitan DBP) adalah mereka “yang didahulukan selangkah, yang ditinggikan seranting, yang dilebihkan serambut, yang dimuliakan sekuku.” Menurut buku itu lagi, pemimpin adalah mereka “yang diberikan kepercayaan, yang diberikan kekuasaan, yang diberikan beban berat, yang diberikan tanggungjawab, yang diikat janji dan sumpah, yang disimpai petua amanah.”

Pemimpin memimpin dengan menunjukkan teladan. Pemimpin tidak boleh menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Pemimpin tidak boleh menjadi guru yang kencing berdiri kerana anak muridnya pasti akan kencing berlari. Maka itu ada kualiti tertentu yang diharapkan daripada mereka, selain pertimbangan membabitkan agama, akhlak dan moral.

Tidak kurang pentingnya ialah prinsip perjuangan di dalam dirinya bara perjuangan yang tidak harus pudar dalam apa keadaan sekalipun. Bara inilah yang menjadi penggerak dan penentu arah perjuangannya. Maka itu idealisme harus menjadi teras kekuatannya. Mana-mana pemimpin yang bara perjuangannya tidak lagi bertolak daripada idealisme akan hanya menjadi pemimpin yang kebetulan berada di tempatnya. Orang seperti ini tidak banyak gunanya pada bangsa, agama dan negaranya.

Benarkah bara perjuangan dan idealisme sudah pudar di kalangan pimpinan muda kita? Dalam ucapannya pada Perhimpunan Pemuda Umno yang baru lalu, Datuk Hishammuddin Hussein mengemukakan cabaran itu. Katanya, “ramai orang yang berpendapat bahawa politik akan mengubah pengamalnya. Malah politik dengan segala amalan dan tabiatnya dikatakan akan menjerumuskan pengamalnya pada pusaran air yang deras dan tanpa dasar. Segala-galanya dalam pusaran itu akan ditelan nilai, harga diri, integriti dan prinsip.” Katanya lagi, politik boleh menjadikan seseorang terkenal, gah, hebat dan berkuasa. Demikian juga kuasa boleh merosakkan seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Pemimpin politik mudah menjadi angkuh, rakus dan lupa daratan. Katanya lagi ada pandangan yang menyatakan innocence lama berkubur dalam politik, “yang tinggal hanya sistem yang tidak lagi bertolak daripada idealisme, amanah dan kewarasan.” Beliau bagaimanapun tidak dapat bersetuju bahawa politik begitu mudah boleh menenggelamkan identiti dan idealisme pengamalnya.

Pandangan jujur ini wajar diberikan perhatian oleh pemimpin muda hari ini. Mereka selalu ditanyakan mengenai komitmen, asas perjuangan dan matlamat mereka. Sudah tentulah masing-masing mempunyai alasan mengapa mereka menceburi bidang politik. Malah banyak yang mengenepikan bertahun-tahun waktu belajar dalam bidang-bidang tertentu semata-mata untuk terbabit dalam politik.

Alasan “saya mahu berkhidmat” bunyinya enak tetapi belum tentu menunjukkan kejujuran. Pastilah politik menjanjikan sesuatu pada mereka. Sudah tentulah politik boleh menjadi batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih besar, untuk menjadi berkuasa atau untuk menjadi terkenal. Malah bukan rahsia lagi banyak yang masuk politik untuk menggunakan kedudukan bagi mengkayakan diri, keluarga dan kroni.

Banyak pemimpin yang bermula sebagai idealis tetapi berakhir sebagai pemimpin yang tamak, korup dan kejam. Sejarah banyak menunjukkan pemimpin jenis ini. Banyak pejuang kebangsaan yang kemudiannya menjadi pemimpin negara mereka dihormati dan disanjung dan digelar Bapa Perjuangan. Tetapi mereka akhirnya termasuk dalam lubuk yang menjerumuskan banyak pemimpin besar. Mereka terseret di dalam apa yang disebutkan oleh Hishammuddin sebagai “pusaran air yang deras dan tanpa dasar” tadi.

Kita boleh mengambil contoh dua tokoh yang diseret ke penjara selama bertahun-tahun kerana perjuangan mereka, kemudiannnya menjadi pemimpin negara tetapi dengan rela melepaskan jawatan mereka apabila sampai masanya. Nelson Mandela merengkok dalam tahanan selama 27 tahun kerana menentang dasar apartheid, sementara Vaclav Havel dibenam di penjara kerana mengepalai Valvet Revolution yang mempersoalkan kehadiran tentera Russia di negaranya Chekoslovakia ketika itu. Apabila Republik Czech muncul daripada kehancuran Chekoslovakia, Havel dilantik menjadi Presidennya. Mandela menjadi Presiden Afrika Selatan. Mandela dan Havel memberi luang pada pimpinan baru apabila tugas mereka selesai. Mereka akan sentiasa diingat sebagai negarawan sebenar.

Tidak banyak pemimpin seperti ini di dunia ini. Pimpinan muda harus belajar daripada sikap dan pendirian pemimpin sedemikian. Juga banyak lagi pemimpin dalam sejarah Islam yang menampakkan kesederhanaan, kesediaan untuk berkompromi dan turun ke gelanggang rakyat. Tradisi dan sejarah kehebatan empayar Islam banyak ditandakan oleh pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat tetapi punya visi dan wibawa yang hebat untuk memajukan agama, bangsa dan negara selain menaungi kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kesenian tinggi.

Terlalu banyak harapan rakyat pada Pak Lah dalam menentukan calon untuk pilihan raya kali ini. Ia kesempatan yang terbaik untuk beliau meletakkan calon yang berkualiti, berwibawa, bermoral dan berakhlak tinggi dan pada waktu yang sama dapat membantunya membina tamadun, menjulang martabat bangsa dan menunjang kegemilangan negara.

31
Jan
08

Integriti Bahasa, Membina Integriti Bangsa.

 oleh : Zubayry Abady Sofian (Mingguan Malaysia, 12.3.2006)

“Tidak Hilang Melayu di Dunia”. Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini mungkin hanya akan tinggal sebagai retorik semata sekiranya bangsa Melayu tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya. Sejarah telah membuktikan Bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang gah suatu ketika dahulu. Melayu mampu menjelajah dunia dan Melaka itu sendiri telah menjadi pusat peradapan suatu bangsa bertamadun yang bernama Melayu. Kegemilangan Melaka dahulu bukan sahaja di sekitar rantau sebelah sini (Asia) sahaja malahan menjangkau hingga ke sebahagian besar negara-negara di dunia melalui pedagang-pedagang mereka yang singgah di situ. Bahasa Melayu itu sendiri telah menjadi bahasa perdagangan utama dan dipertuturkan oleh pelbagai bangsa yang berdagang di Melaka. 

Kini, setelah hampir 500 tahun zaman kegemilangan Melaka berlalu, Bahasa Melayu seakan makin tenggelam di bumi sendiri. Persoalan yang timbul bukan dari segi penggunaannya dalam pertuturan, penulisan mahupun status dan kedaulatannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, tetapi persoalan tentang integriti bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu itu sendiri telah dan semakin teruk tercemar dengan pelbagai virus perosak bahasa. Martabat dan maruah Bahasa Melayu direndahkan kerana rata-rata penuturnya sudah tidak mementingkan integriti Bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan bahasa slanga yang melampau serta amalan merojakkan bahasa seperti sukar dibendung.

Jika kita merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN), Integriti membawa maksud kualiti atau keunggulan yang wujud secara keseluruhan dalam diri seseorang individu atau organisasi dan ia berkait rapat dengan etika yang merupakan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion. Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun. Integriti bahasa pula merujuk kepada keunggulan bahasa itu sebagai salah satu medium utama untuk membentuk pemikiran dan tindakan penuturnya.  Tercemar integriti bahasa, maka tercemarlah pemikiran dan tindakan warga penuturnya. 

Jika dahulu, sopan santun dan berbudi bahasanya seseorang itu banyak dapat dilihat dan didengar melalui cara pertuturannya. Sifat orang Melayu biasanya bertutur dengan nada yang lembut serta menggunakan perkataan yang “sedap didengar” dan berhemah. Berbicara dalam lembut tetapi penuh makna. Bukankah bahasa itu menunjukkan bangsa. Tetapi hal sebegini jarang atau boleh dikatakan hampir tidak kedengaran lagi. Anak-anak muda sekarang lebih fasih berbahasa slanga. Lebih fasih membahasakan diri mereka sebagai “gua” dan “lu”. Ayat “Pecite beb?” seakan-akan sudah mengantikan sapaan salam atau “apa khabar?”. 

Permasalahan ini semakin parah dengan adanya manusia yang berbicara dalam bahasa, seperti yang digelar oleh Datuk Seri Rais Yatim, separuh ular separuh belut. Mencampuk-adukkan penggunaan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Hal ini bukan sahaja berlaku dikalangan anak-anak muda tetapi juga golongan profesional dan penjawat-penjawat awam yang sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu sebaik mungkin. 

Integriti Bahasa Melayu juga semakin lemah dengan munculnya “Bahasa SMS”. Sistem ejaan yang digunakan semakin haru-biru. Perkataan “macam mana” dieja “camner”, “dia” dieja “dier”, “Apa cerita” dieja “Pecite” dan seumpamanya. Dan ejaan-ejaan ini secara sedar atau tidak telah pun digunakan oleh para pelajar kita di sekolah-sekolah sewaktu menjawab soalan peperiksaan.   

Tugas mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu dan bangsa Melayu seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu mungkin agak sukar tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil. Langkah pertama yang mungkin boleh dimulakan ialah dengan membuat sedikit anjakan pemikiran dan sikap. Integriti Bahasa Melayu perlu dibangunkan semula. Semangat pejuang melayu perlu diserap dalam jiwa anak remaja sekarang merangkumi setiap bangsa yang lahir dan berpijak di bumi Malaysia untuk mencintai Bahasa Melayu. Dan semangat ini perlu dilestarikan dan disuburkan dari generasi ke generasi. Namun begitu, kecintaan terhadap Bahasa Melayu ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk menerima bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Kebolehan kita menguasai bahasa Inggeris yang merupakan “Bahasa Dunia” akan menjadikan bangsa Melayu lebih megah dan berdaya saing. Sedangkan Jepun, sebuah negara yang cukup kuat mempertahankan bahasa ibundanya juga telah semakin sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk terus maju dalam semua bidang. 

Ketamadunan sesuatu bangsa banyak dibentuk melalui falsafah dan pemikiran bangsa itu sendiri dan untuk menjelaskan falsafah dan pemikiran ini, medium bahasa dan penulisan perlu digunakan secara optimum. Penulisan karya seperti novel, cerpen, drama, puisi, sajak dan sebagainya perlu menggunakan pendekatan baru yang memfokuskan tema tentang etika dan integriti. Ini penting untuk menyemai, memupuk dan menyuburkan semangat mencintai nilai-nilai murni dan semangat kecintaan terhadap bahasa dan bangsa. Ini kerana keutuhan pemikiran sesuatu bangsa banyak dicorak oleh keutuhan bahasa bangsa tersebut. 

Agensi-agensi Kerajaan dan Swasta seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Penerangan serta NGO bahasa boleh memainkan peranan yang besar dengan menganjurkan pelbagai bentuk pertandingan dan peraduan untuk menggalakkan masyarakat berkarya dengan tema ini dalam Bahasa Melayu. Industri penerbitan buku tempatan yang seakan kelihatan suram perlu disemarakkan semula. Karya-karya dalam Bahasa Melayu yang bertemakan integriti perlu menjadi keutamaan kepada penerbit-penerbit buku. Memperbanyakkan bahan-bahan bacaan seperti ini penting untuk membentuk jurus pandang golongan muda terutamanya, supaya berintegriti dalam segala aspek kehidupan mereka.  

Apabila integriti atau keunggulan bahasa wujud dan integriti individu berjaya dibentuk maka secara tak langsung integriti nasional akan terbina. Integriti nasional inilah yang merupakan anak kunci utama untuk membuka kembali pintu kegemilangan zaman dahulu. Ingatkah kita lagi dengan satu slogan  Bahasa Jiwa Bangsa? Ketiadaan bahasa yang berintegriti, santun, dan dijiwai akan mencacatkan malah akan menghancurkan sesebuah bangsa.

30
Jan
08

Salam

Hi semua… Ini pengalaman pertama aku dengan dunia blog. masih terlalu baru, walaupun usiaku tak lah muda dah. Cuma agak lewat memulakan pengembaraan di alam cyber, but i have to start somewhere… Bila bercakap tentang dunia tenpa sempadan ni, terlalu banyak maklumat yang terdapat di dalam alam cyber ni. Ada yang baik dan ada yang buruk, ada yang bermanfaat dan ada yang memudaratkan. Kita, makhluk ciptaan Tuhan yang paling sempurna ini lah yang kena bijak menilai, menapis, menganalisa dan mengguna pakai maklumat-maklumat tersebut. Perlu ada pertimbangan yang waras dalam menggunakan kecanggihan Teknologi ICT ini. Harapan aku agar blog aku ini dapat menjadi wadah untuk aku menyuarakan perasaan aku terhadap pelbagai isu dan persoalan yang berlaku dalam dunia ni, terutamanya isu-isu yang melibatkan survival bangsa dan negara aku.




May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031